Archive for the ‘Malay publications 馬來文發表作品’ Category

Pelajar wajar manfaat internet untuk kuasai bahasa Inggeris (Berita Harian, 13 Aug 2009)

Thursday, August 13th, 2009

Link

KITA berusaha berbincang bersama-sama mengenai kaedah meningkatkan tahap bahasa Inggeris. Selain daripada mengarahkan kajian semula kurikulum bahasa Inggeris, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pegawai kementerian juga melawat Universiti Edith Cowan di Australia. Universiti itu bersetuju membantu guru dan pelajar Malaysia meningkatkan tahap bahasa Inggeris.

Selain usaha ini, saya berpendapat bahawa kita juga perlu menggalakkan pelajar belajar bahasa itu melalui internet. Pada zaman sebelum internet, pelajar perlu membeli bahan pembelajaran seperti buku, majalah, kamus, surat khabar, menonton wayang dan dokumentari. Pelajar miskin dan tidak dapat menikmati kemudahan perpustakaan yang baik, biasanya ketinggalan dalam pembelajaran bahasa Inggeris daripada rakan mereka yang lebih kaya. Pada hari ini, jurang antara kaya dan miskin dalam pembelajaran bahasa Inggeris sudah dirapatkan oleh internet, asalkan pelajar mempunyai komputer dan internet jalur lebar.

Untuk memahami isu semasa dunia, kita boleh melayari laman berita seperti BBC, CNN, Asia Sentinel, Time dan Guardian; untuk menguasai lebih banyak perbendaharaan kata, kita ada pilihan seperti dictionary.com, kamus Longman dan idioms.thefreedictionary.com; untuk mendengar ucapan, kita boleh melayari Youtube dan dengar ucapan pengucap baik seperti David Cameron dan Obama; untuk menambah ilmu pengetahuan, wikipedia dan wikihow; untuk pendidikan, youtube.com/edu dan scitable.com ialah pilihan baik.

Laman web ini adalah aset kita dalam pembelajaran bahasa Inggeris dan semuanya percuma. Sebenarnya, bahan pembelajaran ini boleh diperoleh dalam jangka masa satu klik jika kita ada komputer dan internet jalur lebar. Guru dan pensyarah bahasa Inggeris patut menggalakkan pelajar menggunakan bahan pembelajaran percuma ini dengan sebaik-baiknya. Barangkali dengan upaya belajar sendiri yang lebih baik di kalangan pelajar, beban pendidik boleh diringankan sedikit.

Bagi saya, bahan pembelajaran bahasa Inggeris yang tidak terhitung ini ialah harta benda kita. Sayangnya, ramai pelajar (termasuk siswazah) tidak menyedari bahawa mereka ialah jutawan yang sedang menikmati perolehan ilmu pengetahuan secara percuma, hanya kerana kebanyakan daripada mereka memanjakan diri sendiri dalam permainan komputer, atau bahkan mengelamun meningkatkan tahap bahasa Inggeris tanpa belajar dengan bersungguh-sungguh.

YEOW BOON KIAT,
Petaling Jaya, Selangor.

Bimbang ujian kecerdasan jejas murid (Berita Harian, 4 Aug 2009)

Thursday, August 6th, 2009

Link:

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Surat/20090803225837/Article/index_html

KEMENTERIAN Pelajaran mengumumkan murid yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini akan menduduki peperiksaan kecerdasan. Saya bimbang mengenai impak ujian tambahan ini terhadap kanak-kanak sekolah rendah dan ingin berkongsi bersama pembaca.

Sistem penilaian bagi peperiksaan kecerdasan ini akan mengikut penilaian bahasa Inggeris universiti Malaysia (MUET). Gred terbaik ialah Band Enam dan gred terakhir ialah Band Satu. Dengan kata lain, selain daripada menerima pangkat bagi semua mata pelajaran yang dipelajari pada peringkat sekolah rendah, murid juga akan menerima pangkat bagi peperiksaan kecerdasan yang menilai kemahiran berfikir dan kebolehan menyelesaikan masalah. Walaupun penilaian ini tidak akan dikira dalam keputusan akhir UPSR, saya tetap bimbang bahawa murid akan dilabelkan dalam penilaian ini.

Murid dinilai bagi semua mata pelajaran yang mereka pelajari sepanjang enam tahun di sekolah rendah. Mereka yang mampu mendapat semua A dalam UPSR sering menjadi tumpuan media dan dilihat sebagai ‘cerdik’ atau ‘berbakat’; sebaliknya, mereka yang dapat sedikit A atau tidak dapat satu A dalam UPSR pula, tidak ada pilihan, tetapi terpaksa menerima label seperti ‘bodoh’.

Bayangkan segelintir murid yang gagal dalam UPSR dan pada masa sama, menerima keputusan sederhana dalam peperiksaan kecerdasan. Apakah mereka rasa bahawa mereka dilabelkan sebagai ‘tidak cerdik’ dan justeru, hilang minat dalam pelajaran? Apakah mereka akan berfikir ’saya tidak mampu berprestasi baik dalam peperiksaan? Apakah fikiran ini akan menjadi ‘lingkaran setan’ ketika mereka gagal mendapat keputusan baik pada peringkat sekolah menengah?

Saya pernah mengalami ‘lingkaran setan’ sebegini sepanjang pengajian. Ketakutan peperiksaan menghantui saya sehingga peperiksaan terakhir di universiti. Pada pandangan saya, peperiksaan adalah suatu sistem keras dan ia tidak dapat menunjukkan sepenuhnya pencapaian seseorang pelajar dalam pendidikan.

Kegagalan saya untuk berprestasi cemerlang dalam peperiksaan menyebabkan saya berfikiran negatif bahawa peperiksaan hanya suatu sistem yang bermanfaat kepada mereka yang otaknya mampu berfungsi seperti mesin fotostat dengan mencatatkan apa dicetak dalam buku teks dan rujukan ke atas kertas peperiksaan.

Mereka yang sesuai dengan sistem ini dan yang mendapat keputusan baik digelar ‘berbakat’; mereka yang tidak sesuai untuk sistem ini pula, mungkin terpaksa melupakan hasrat mereka untuk mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau Kedua Atas, kerana prestasi baik dalam projek kursus tidak dapat mengumpul markah cukup untuk dapat gred A.

Sebagai seorang individu yang pernah mengalami ketakutan peperiksaan dan label yang berasaskan peperiksaan, saya memang tidak sudi melihat kanak-kanak negara kita lebih menderita daripada saya, kerana ini akan mematikan minat dan daya kreatif mereka dalam pelajaran.

YEOW BOON KIAT,
Petaling Jaya,
Selangor.

Sistem pendidikan negara perlu utama kemahiran, pengetahuan (Berita Harian, 29 Jul 2009)

Sunday, August 2nd, 2009

Link: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Surat/20090729215617/Article/index_html

KHUATIR ketika bersedia untuk peperiksaan, bimbang tertinggal bab penting yang mungkin keluar dalam peperiksaan, membuang buku teks dan melupakan apa yang kita hafal selepas peperiksaan. Barangkali kebanyakan kita pernah melalui pengalaman ini.

Belajar sudah menjadi mimpi buruk bagi segelintir pelajar, hanya kerana ia dikongkong peperiksaan. Ketika belajar menjadi mimpi buruk, pelajar lebih cenderung menumpukan perhatian pada ‘ilmu pengetahuan’ yang akan disoal dalam peperiksaan.

Untuk menjadi insan lebih sempurna seperti pendidikan jasmani, muzik dan seni, sering diabaikan kebanyakan kita. Kita sudah biasa beranggapan tidak timbul masalah sekiranya seseorang yang bijak dalam pelajarannya dengan mencatat semua A dalam peperiksaan awam, tetapi lemah dalam bidang lain.

Kemahiran dan pengetahuan lain seperti berenang, bagaimana menyelamatkan diri dalam hutan, apakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai warga negara, bagaimana mencapai kehidupan sihat, merancang pelan kewangan, memperbaiki EQ, kerap kali diabaikan oleh sistem pendidikan kita.

Kita sering menentukan sama ada seseorang pelajar berprestasi baik dalam pelajarannya dengan bilangan A yang diperoleh dalam peperiksaan penting. Dengan penilaian ini, kebanyakan pelajar akan meneruskan kehidupan mereka dengan fikiran ‘dapat gred baik, memasuki universiti baik dan dapat kerja baik’ tanpa mengetahui atau hanya tahu sedikit mengenai kemahiran dan pengetahuan lain.

Kita banyak bergantung kepada jawapan panduan dalam sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan. Kebanyakan pelajar yang sudah biasa bergantung kepada jawapan panduan tidak tahu apa yang mereka mahu dalam kehidupan mereka, kerana soalan ini tidak mempunyai jawapan panduan.

YEOW BOON KIAT,
Petaling Jaya.

Penguasaan bahasa Inggeris rakyat masih lemah (Berita Harian, 22 Jul 2009)

Monday, July 27th, 2009

Link: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Surat/20090722225925/Article/index_html

KITA sering dipuji orang asing kerana kita mampu bertutur dalam beberapa bahasa dan dialek untuk urusan harian. Kebanyakan rakyat mampu menguasai bahasa Inggeris asas. Dengan itu, kita suka berlagak di hadapan rakan dari China, Taiwan, Jepun dan Korea bahawa kita mampu berbahasa Inggeris.

Melihat rakan kita dari negara Asia Timur lain terkial-kial ketika berbahasa Inggeris, kita mengetawakan mereka. Kita gembira kerana kita mampu berbahasa Inggeris sedangkan mereka tidak.

Saya bertanyakan diri ‘adakah kita boleh berlagak bahawa kita pandai berbahasa Inggeris ketika kita sering bertutur dalam Manglish (Malaysian English)? Saya dapati bahawa kita gagal meningkatkan tahap bahasa Inggeris kerana fikiran puas hati ’saya mampu berbahasa Inggeris’.

Sebenarnya, kita sering mengabaikan tata bahasa dan memasukkan percakapan bahasa Melayu dan dialek Cina. Kita mengguna ‘lah’, ‘arr’, ‘hor’ atau ‘de’ supaya percakapan kita lebih jelas dan jarang mencari percakapan bahasa Inggeris piawai untuk menggantikannya.

Kita beranggapan asalkan Manglish kita boleh difahami orang lain, maka tidak timbul masalahnya. Kita sudah lama hidup dengan fikiran berpuas hati ini dan tidak mengendahkan hakikat bahawa tahap bahasa Inggeris di Asia Timur sedang meningkat.

Lebih ramai profesional dan siswazah Asia Timur meningkatkan tahap bahasa Inggeris mereka di Eropah. Dengan kemampuan bahasa Inggeris yang lebih baik, lebih ramai bakat Asia Timur bersinar di pentas antarabangsa sedangkan kita masih bertutur Manglish seperti “you got see Ali arr?” “Got arr, you never see him mie?”.

Ketika pesaing Asia kita bekerja lebih keras untuk menguasai bahasa Inggeris standard, ketika kita beranggapan bahawa bahasa Inggeris kita lebih baik daripada mereka tetapi bilangan profesional dan siswazah mereka yang mampu menguasai bahasa Inggeris standard mungkin melebihi jumlah penduduk negara kita. Kita sesungguhnya ketinggalan jauh.

YEOW BOON KIAT,
Petaling Jaya, Selangor.

Pelajar perlu baca banyak buku bahasa Inggeris (Berita Harian, 18 Jul 2009)

Sunday, July 19th, 2009

Link: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Surat/20090718113141/Article/print_html

BERIKUTAN pengumuman Menteri Pelajaran Datuk Seri Muhyiddin Yasin membatalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akhirnya menutup tirai perdebatan.

Saya menyokong keputusan itu dan ingin memberi beberapa cadangan supaya rakyat Malaysia boleh kaji bersama.

Ketika kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melaksanakan dasar itu, saya sering bertanya dua soalan: Pertama, adakah pelajar kita akan menguasai teori Matematik dan Sains sepenuhnya apabila kebanyakan guru mereka juga lemah dalam bahasa Inggeris dan tidak mampu menjelaskan teori dan konsep Matematik dan Sains dalam bahasa itu?

Kedua, mampukah pelajar kita menulis karangan atau artikel Inggeris yang baik selepas beberapa tahun diajar Matematik dan Sains dalam bahasa itu?

Saya pernah bekerja sebagai tutor peribadi bahasa Inggeris ketika melanjutkan pelajaran di Taiwan.

Saya mementingkan penggunaan bahasa itu dalam kehidupan seharian.

Pada permulaan setiap sesi tutor, saya biasanya bertanyakan pelajar Taiwan saya: “Beritahu saya mengenai kehidupan anda atau perkara istimewa yang berlaku minggu lalu dalam bahasa Inggeris yang lancar.” Konsep saya mudah saja: “Jika bahasa Inggeris anda memang baik, anda sepatutnya boleh bercakap dalam bahasa Inggeris yang lancar dan baik.

Jangan beritahu saya bahasa Inggeris anda baik hanya kerana menghafalkan banyak perbendaharaan kata dalam kamus Oxford.

Beberapa pelajar Taiwan dari jurusan Kejuruteraan atau Matematik dan menggunakan buku teks bahasa Inggeris dari negara Barat dalam kursus mereka.

Walaupun mereka mampu memahami teori dan konsep Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, mereka tidak mampu berbahasa Inggeris ketika diminta memberitahu mengenai kehidupan seharian mereka.

Keadaan itu memaksa saya bertimbang, adakah teori dan konsep Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dapat membantu seseorang menulis esei Inggeris yang baik dan berbahasa Inggeris dengan lancar?

Bukankah kita mesti kembali ke asalnya, iaitu asal bahasa Inggeris sekiranya kita ingin meningkatkan tahap bahasa itu?

Seseorang mesti membaca secukupnya sekiranya ingin menguasai sesuatu bahasa. Kita mesti memupuk tabiat membaca buku bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Adakah pengiraan dan latihan Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris akan meningkatkan tahap bahasa Inggeris pelajar kita?

Penulis bahasa Inggeris terbaik dalam sejarah seperti William Shakespeare, Charles Dickens dan George Orwell adalah profesor Inggeris terbaik.

Apakah kita lakukan dalam mengajar pelajar kita bagaimana belajar daripada tokoh bahasa Inggeris itu?

Saya ingin mencadangkan Kementerian Pelajaran melaksanakan polisi berikut di semua sekolah:

‧ Mengadakan hari bahasa Inggeris dua kali seminggu dan semua guru serta pelajar mesti berbahasa Inggeris dalam dua hari itu;

‧ Membina makmal perbualan bahasa Inggeris;

‧ Menilai semula semua buku teks bahasa Inggeris;

‧ Menambah pelajaran sastera Inggeris dalam subjek bahasa Inggeris peringkat sekolah menengah; dan

‧ Meningkatkan profesionalisme guru Bahasa Inggeris.

Bertutur dalam bahasa Inggeris yang baik dalam kehidupan seharian, memupuk tabiat membaca dalam bahasa Inggeris dan belajar daripada tokoh bahasa Inggeris, saya yakin kita akan meningkatkan tahap itu.

YEOW BOON KIAT,
Petaling Jaya, Selangor.