Pelajar wajar manfaat internet untuk kuasai bahasa Inggeris (Berita Harian, 13 Aug 2009)

Link

KITA berusaha berbincang bersama-sama mengenai kaedah meningkatkan tahap bahasa Inggeris. Selain daripada mengarahkan kajian semula kurikulum bahasa Inggeris, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pegawai kementerian juga melawat Universiti Edith Cowan di Australia. Universiti itu bersetuju membantu guru dan pelajar Malaysia meningkatkan tahap bahasa Inggeris.

Selain usaha ini, saya berpendapat bahawa kita juga perlu menggalakkan pelajar belajar bahasa itu melalui internet. Pada zaman sebelum internet, pelajar perlu membeli bahan pembelajaran seperti buku, majalah, kamus, surat khabar, menonton wayang dan dokumentari. Pelajar miskin dan tidak dapat menikmati kemudahan perpustakaan yang baik, biasanya ketinggalan dalam pembelajaran bahasa Inggeris daripada rakan mereka yang lebih kaya. Pada hari ini, jurang antara kaya dan miskin dalam pembelajaran bahasa Inggeris sudah dirapatkan oleh internet, asalkan pelajar mempunyai komputer dan internet jalur lebar.

Untuk memahami isu semasa dunia, kita boleh melayari laman berita seperti BBC, CNN, Asia Sentinel, Time dan Guardian; untuk menguasai lebih banyak perbendaharaan kata, kita ada pilihan seperti dictionary.com, kamus Longman dan idioms.thefreedictionary.com; untuk mendengar ucapan, kita boleh melayari Youtube dan dengar ucapan pengucap baik seperti David Cameron dan Obama; untuk menambah ilmu pengetahuan, wikipedia dan wikihow; untuk pendidikan, youtube.com/edu dan scitable.com ialah pilihan baik.

Laman web ini adalah aset kita dalam pembelajaran bahasa Inggeris dan semuanya percuma. Sebenarnya, bahan pembelajaran ini boleh diperoleh dalam jangka masa satu klik jika kita ada komputer dan internet jalur lebar. Guru dan pensyarah bahasa Inggeris patut menggalakkan pelajar menggunakan bahan pembelajaran percuma ini dengan sebaik-baiknya. Barangkali dengan upaya belajar sendiri yang lebih baik di kalangan pelajar, beban pendidik boleh diringankan sedikit.

Bagi saya, bahan pembelajaran bahasa Inggeris yang tidak terhitung ini ialah harta benda kita. Sayangnya, ramai pelajar (termasuk siswazah) tidak menyedari bahawa mereka ialah jutawan yang sedang menikmati perolehan ilmu pengetahuan secara percuma, hanya kerana kebanyakan daripada mereka memanjakan diri sendiri dalam permainan komputer, atau bahkan mengelamun meningkatkan tahap bahasa Inggeris tanpa belajar dengan bersungguh-sungguh.

YEOW BOON KIAT,
Petaling Jaya, Selangor.

Leave a Reply